KUALA TERENGGANU: Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Azan Ismail mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu dalam pemilihan parti itu, semalam.
Azan, 59, memperoleh sebanyak 363 undi mengatasi dua pencabarnya iaitu Ahmad Yani Hashim (175 undi) dan Wan Muhammad Haikal Wan Ghazali (52 undi).
Azan menyandang jawatan Ketua Cabang Kuala Terengganu sejak 2022.

Selain itu, Pengerusi PKR Terengganu, Ahmad Nazri Mohd. Yusof turut mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Kemaman.
Beliau memperoleh 383 undi menewaskan tiga pencabarnya, iaitu Amir Hamzah Ghazali yang mendapat 370 undi, Hasuni Sudin (244 undi) dan Saikri Ngah@Choh (92 undi).
Pemilihan yang berlangsung semalam menyaksikan sebanyak 81 peratus daripada 7,685 ahli yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka dalam pemilihan parti kali ini. – UTUSAN