PUTRAJAYA: Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 kini berada di peringkat akhir penelitian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan, pada peringkat seterusnya, draf berkenaan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“(Draf) PTKL 2040 sekarang di peringkat akhir (kemudian) kita akan bentangkan kepada Perdana Menteri.
“Selepas itu, insya-Allah kita akan melalui proses iaitu AG (Peguam Negara) dan seterusnya ia boleh diwartakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Madani kepada Badan Sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025 di sini hari ini.
PTKL 2040 merupakan satu pelan terperinci menterjemahkan polisi dan cadangan terkandung dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.
Pelan berkenaan juga merupakan satu dokumen penting dalam menentukan hala tuju serta kemampuan pelaksanaan pembangunan di Kuala Lumpur menjelang 2040.
Media pada 30 Januari 2024 melaporkan, semua pihak termasuk wakil agensi kerajaan, swasta, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun warga kota dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam terhadap kandungan draf PTKl 2040.
Zaliha dilaporkan berkata, mereka dipelawa memberi sebanyak mungkin pandangan, cadangan serta idea terhadap kandungan draf PTKL 2040 untuk diteliti oleh jawatankuasa terlibat sebelum diwartakan pada suku pertama 2025. – UTUSAN