Dengar suara pertengkaran sebelum kanak-kanak jatuh

Dengar suara pertengkaran sebelum kanak-kanak jatuh

LOKASI kejadian kanak-kanak perempuan yang maut akibat terjatuh dari tingkat enam pada tinjauan di Projek Perumahan Rakyat Batu Muda, Kuala Lumpur.-UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jiran kepada keluarga kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Sentul di sini, kelmarin mendakwa terdengar bunyi pertengkaran mangsa bersama adik-beradiknya sebelum insiden.

Individu yang enggan namanya didedahkan berkata, dia menyedari kejadian itu kerana dimaklumkan anaknya dan percaya mangsa sudah jatuh kira-kira 10 minit sebelum disedari orang ramai.

Katanya, mangsa dan keluarganya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah di kawasan perumahan itu.

“Dia seorang pendiam dan hanya tersenyum apabila terserempak di kawasan rumah. Tapi semalam, sebelum kejadian, ada bunyi pertengkaran dari rumah mereka dan difahamkan dia merajuk selepas itu.

“Saya hanya tahu dia terjatuh bila anak beritahu. Ketika itu dia dikatakan sudah terbaring di bawah lebih kurang 10 minit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis menerima maklumat pada pukul 2.24 petang dan setakat ini siasatan lanjut masih diteruskan, selain diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) serta jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatus Sakinah semalam.

Dalam pada itu, ibu saudara mangsa, Wan Zurini Yusof berkata, anak keempat daripada enam beradik itu baharu sahaja pulang dari sekolah dan sedang bermain bersama adiknya sebelum kejadian.

Katanya, mereka sekeluarga tidak nampak sebarang situasi berbahaya di balkoni yang boleh menyebabkan kejadian itu.

“Dekat balkoni itu cuma ada tong sampah. Kami rasa mustahil untuk dia panjat tong tersebut dan naik sampai boleh jatuh.

“Dia baharu selesai mandi selepas pulang dari sekolah berdekatan, rambut pun masih basah. Dia bersama adiknya bermain dalam rumah sebelum ibunya perasan mangsa tidak kelihatan. Selepas 10 minit tidak nampak dia, ibunya perasan ada orang jatuh terbaring di bawah sebelum menyedari itu anaknya,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN