Deklarasi Putrajaya sepakat perkukuh kerjasama serantau banteras rasuah

Deklarasi Putrajaya sepakat perkukuh kerjasama serantau banteras rasuah

AZAM baki pada Persidangan Antirasuah Asia Tenggara: Recalling Jakarta Statement di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi antirasuah Asia Tenggara sepakat untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dalam usaha mencegah dan membanteras rasuah menerusi pemeteraian Deklarasi Putrajaya.

Sebanyak tujuh keutamaan ditetapkan terhadap kebebasan, ketelusan dan keberkesanan agensi antirasuah sebagai tunjang kepada tadbir urus baik dan pembangunan mampan di rantau ini.

Deklarasi berkenaan disepakati oleh lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia Brunei, Laos, Myanmar, Singapura, Timur Leste dan Kemboja yang dibacakan bersama oleh Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Ketua Komisi Pembanteras Korupsi (KPK) Indonesia, Setyo Budiyanto di Persidangan Antirasuah Asia Tenggara: Recalling Jakarta Statement di sini hari ini.

Antara yang dipersetujui dalam Deklarasi Putrajaya itu ialah sokongan padu terhadap penubuhan serta pengukuhan agensi antirasuah bebas di semua negara.

“Agensi bebas yang berkesan memainkan peranan penting dalam menjamin akauntabiliti dan keluhuran undang-undang,” katanya.

Deklarasi tersebut turut mengiktiraf kepentingan tindakan kolektif antara negara serantau untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan kejayaan dalam membanteras rasuah.

Kerjasama merentas sempadan termasuk perkongsian maklumat, teknik siasatan, mekanisme pemulihan aset serta strategi pencegahan turut digariskan sebagai elemen penting dalam usaha bersepadu ini.

“Perkongsian maklumat dengan sektor swasta dan pihak berkepentingan lain juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan siasatan dan pendakwaan,” katanya.

Selain itu, agensi-agensi terlibat turut menyatakan sokongan terhadap penyelidikan dan pendidikan berkaitan integriti serta antirasuah yang dijalankan oleh institusi dalam dan luar negara.

Mereka mengalu-alukan pendekatan seperti yang dibangunkan oleh Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) bersama Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam menilai keberkesanan sesebuah agensi.

Menurut deklarasi itu, agensi-agensi antirasuah juga komited untuk mempromosi pelaksanaan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), khususnya Artikel 6 dan 36, dalam bidang kuasa masing-masing.

Turut diberi perhatian ialah prinsip-prinsip dalam Kenyataan Jakarta dan Ulasan Colombo yang menjadi rujukan dalam menilai keberkesanan dan kebebasan agensi pencegahan rasuah.

Deklarasi Putrajaya ini merupakan satu langkah signifikan yang mencerminkan iltizam bersama negara-negara Asia Tenggara dalam membina masa depan yang bebas daripada rasuah.

Ia turut menzahirkan kesediaan semua pihak untuk bekerjasama secara lebih aktif dalam membentuk budaya integriti melalui advokasi, penglibatan dan dialog yang konstruktif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN