JOHOR BAHRU: Pemain industri pelancongan di Johor digesa meningkatkan tahap hospitaliti dalam usaha memastikan kejayaan kempen Tahun Melawat Johor 2026 (Visit Johor 2026).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, aspek berkenaan mungkin kelihatan remeh tetapi sebenarnya memainkan peranan besar dalam menarik pelancong baharu dan mengekalkan kunjungan berulang, terutama ketika Johor sedang giat membangunkan pelbagai kemudahan pelancongan.
“Layanan mesra kepada pelancong perlu diutamakan agar mereka berasa dihargai dan terdorong untuk kembali melawat negeri ini, bukannya sekadar datang sekali seumur hidup,” katanya berucap pada program Townhall Visit Johor 2026 yang diadakan di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar dan Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim.
Onn Hafiz berkata, kemudahan dan tarikan semata-mata tidak mencukupi tanpa sokongan masyarakat serta pemain industri yang benar-benar memahami kepentingan layanan pelanggan berikutan apa jua perniagaan diceburi, asasnya tetap berkisar kepada perkhidmatan.
“Penguasaan terhadap kemahiran berbahasa Inggeris turut memainkan peranan dalam menarik kemasukan lebih ramai pelancong antarabangsa ke Johor. Saya yakin Johor mampu digerakkan ke tahap lebih tinggi memandangkan negeri itu memiliki banyak tarikan menarik, namun masih belum dipromosikan secara menyeluruh sebelum ini,” katanya.
Sementara itu katanya hingga kini sebanyak 33 projek pelancongan sedang dilaksanakan sejak tahun lalu melibatkan kos keseluruhan RM116.35 juta, bagi menyokong sambutan Visit Johor 2026 antaranya projek sedang dilaksanakan termasuklah naik taraf gunung Ledang, naik taraf Zoo Johor fasa dua, pembangunan semula Kampung Sungai Melayu, pembukaan Taman Botani Diraja serta pembukaan Muzium Diraja Abu Bakar di Istana Besar Johor.
Majlis pelancaran rasmi Visit Johor 2026 dijadual berlangsung pada Ogos ini dan akan disokong dengan kempen promosi serta penjenamaan berskala besar di seluruh negeri. – UTUSAN