Dakwaan Pemuda UMNO boikot modal politik lemah - Utusan Malaysia

Dakwaan Pemuda UMNO boikot modal politik lemah

AKMAL Saleh (tengah) beramah mesra bersama pemuda UMNO pada program Mencari Juara Memancing di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jeram Mengkuang dan PDM Kampung Rahmat, di Bidor hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Dakwaan Pemuda UMNO Bahagian Tapah memboikot calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir disifatkan sebagai modal politik yang sangat lemah dan tidak berasas.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, tuduhan itu juga dilihat sebagai cubaan terdesak pihak tertentu untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan menyokong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Katanya, Pemuda UMNO Bahagian Tapah khususnya Ketua Pemudanya, Fahmi Ahmad Jakhisi sentiasa berdiri teguh di belakang parti dan komited membantu calon yang mewakili BN.

“Sejak hari penamaan calon dan sehingga hari ini, Fahmi serta Pemuda UMNO seluruh negara turun ke sini (untuk membantu kempen). Tidak timbul isu kita mahu boikot atau sebagainya.

“Isu boikot ini orang-orang belah sana (yang mainkan) kerana mereka tiada isu lain. Fahmi dan jentera pemuda tiada masalah untuk beri sokongan. Dakwaan itu sebenarnya merupakan modal politik yang sangat lemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Mencari Juara Memancing di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jeram Mengkuang dan PDM Kampung Rahmat, Bidor di sini hari ini.

Menurut Dr. Akmal, sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Fahmi sering menghubunginya bagi memaklumkan perkembangan terkini kempen di Ayer Kuning.

“Setiap hari dia akan ‘update’ saya keadaan di sini. Dia pun sampai pening kepala, tidak tidur malam menguruskan program. Saya percaya tiada unsur boikot langsung di sini,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, strategi yang disusun Pemuda UMNO menerusi pelbagai program berjaya memperlihatkan reaksi positif dalam kalangan pengundi muda sekali gus membantu kemenangan BN pada pilihan raya nanti.

Malah katanya, kempen secara berhemah tanpa naratif memburukkan keperibadian calon dan parti lawan juga disenangi generasi muda.

“Ketika di PRK DUN Nenggiri, mereka dengan bongkak mengatakan kita akan kalah tetapi apabila kita jalankan kempen secara berhemah dan matang, kita menang hampir di semua saluran muda yang kita kalah sebelum ini.

“Begitu juga di DUN Mahkota, apabila kita kempen secara matang dengan tidak kutuk orang dan peribadi mereka, kita beri idea dan cakap baik-baik, alhamdulillah orang muda boleh terima.

“Kita guna strategi UMNO yang asal iaitu jangan bongkak. Kita jumpa rakyat secara bersemuka dan jangan kutuk peribadi orang. Jangan tak habis-habis berceramah sebab bila ceramah ini, 99 peratusnya mengutuk orang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya