‘Contohi Sabah, kita perlu panggung rakyat di pekan kecil’ - Utusan Malaysia

‘Contohi Sabah, kita perlu panggung rakyat di pekan kecil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH masanya sebuah inisiatif menghidupkan panggung rakyat diwujudkan bagi memastikan karya anak tempatan sampai kepada masyarakat khususnya di kawasan terpencil.

Bercerita lanjut mengenai itu, pelakon Nam Ron berpendapat, panggung rakyat yang hanya menayangkan produk pengkarya tempatan perlu diwujudkan terutama di pekan kecil bagi memberi kemudahan akses kepada penduduk terhadap perkembangan industri perfileman dan produk anak seni hari ini.

“Kita boleh ambil contoh di Sabah yang sudah memulakan budaya ini, bagaimana mereka mewujudkan panggung sendiri iaitu 10Star Cinemas untuk menayangkan naskhah tempatan.

“Konsepnya mudah, mereka sewa rumah kedai di kawasan terpencil yang kapasitinya hanya memuatkan 70 hingga 100 orang dalam satu masa.

“Jika kita contohi mereka, kita boleh adakah panggung sebegitu di pekan kecil seperti Yan, Kedah atau Raub, Pahang. Tidak perlu lagi penonton jauh-jauh ke bandar besar seperti Alor Setar atau Kuantan untuk menonton wayang.

“Perkara ini penting untuk memastikan naskhah tempatan mendekati rakyat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sesi fotografi filem Mantera, baru-baru ini.

Tambah pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-30 itu lagi, semangat anak Negeri di Bawah Bayu hari ini lebih membara apabila masing-masing berusaha membawa keluar produk filem mereka ke mata dunia.

Hal ini diperhatikan menerusi pengamatan Nam Ron atau Shahili Abdan, 55, semasa mengadakan bengkel lakonan di negeri itu selain terlibat dalam penggambaran filem daripada produksi Sabah berjudul Mantera.

“Bagi filem Mantera, syarikat 10Stars Cinemas juga mahu menjadi pengedar filem dan berusaha untuk membawa naskhah hasil anak Sabah ke semenanjung.

“Malah, produksi Sabah seperti Pro Merge Vision juga sebelum ini berusaha terjun ke pasaran filem untuk cuba jual naskhah mereka sehingga ke festival di Manchester dan Tokyo. Mereka ada reruai sendiri untuk memperkenalkan dan jual filem-filem dari Sabah.

“Bagi filem Mantera yang saya jayakan juga, ada empat produksi daripada Sabah yang terlibat sepanjang pembikinan. Daripada situ, saya boleh lihat kesungguhan anak seni di negeri itu,” tambahnya.

Beri peluang sama rata
Menyifatkan Sabah mempunyai permata dalam bidang seni yang belum digali, Nam Ron percaya sekiranya peluang sama rata dari aspek kemudahan peralatan diberikan kepada mereka, Sabah akan terus menghasilkan karya bermutu tinggi.

Bukan itu sahaja, pengarah One Two Jaga itu juga percaya peluang patut diberikan kepada pelakon asal Sabah untuk menonjolkan kebolehan persembahan mereka di layar khususnya di naskhah filem semenanjung.

“Finas Sabah pun kakitangan mereka cuma tiga orang dan pejabat berkongsi dengan Jabatan Penerangan. Sedangkan mereka sangat bersungguh-sungguh membangunkan karya tempatan.

“Di Borneo, saya lihat perhatian lebih banyak diberikan di Kuching, Sarawak sebagai pusat utama perfileman. Jadi sukar untuk penggiat seni di Sabah sewa peralatan dari Sarawak kerana faktor lokasi yang jauh dan pengangkutan.

“Saya harap selepas ini Finas Sabah boleh besarkan pejabat mereka seperti di Sarawak dan beri peluang sama rata. Berilah mereka sokongan untuk naik sendiri, dapatkan bajet yang sesuai. Bukan hanya projek usahasama yang hanya menguntungkan sebelah pihak,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya