KUALA LUMPUR: Cabaran peralihan kepada pembacaan digital tidak menjejaskan industri perbukuan negara, sebaliknya merancakkan strategi kelangsungan industri melalui penghasilan buku berkualiti dan penganjuran pesta buku secara hibrid.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku AntaraBangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Mohd. Khair Ngadiron berkata, harga kertas yang semakin tinggi menyebabkan kos penerbitan buku fizikal turut meningkat.
Namun katanya, cabaran itu boleh diatasi dengan memberi tumpuan kepada kualiti kandungan dan fizikal buku.
“Kalau dulu cetak RM400,000 baru dapat pulangan baik, sekarang jual RM200,000 pun boleh sama nilai jika kualiti tinggi.
“Kita kena manfaatkan teknologi untuk tarik lebih ramai pembaca. Tapi yang penting tetap kandungan yang kuat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pra Pelancaran PBAKL 2025 dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan menegaskan bahawa buku digital tidak akan menggantikan buku fizikal, sebaliknya berjalan seiring sebagai pelengkap.
“Kita tidak akan melupakan kekuatan buku fizikal. Buku cetak dan digital boleh menyokong antara satu sama lain demi matlamat yang sama.
“Buku teks digital diperkenalkan sebagai pendekatan baharu dalam sistem pendidikan negara, namun buku fizikal masih akan dibekalkan seperti biasa,” katanya.
Katanya, pendigitalan bukan sekadar pindah buku ke skrin tetapi strategi membina ekosistem ilmu yang pintar, responsif dan berorientasikan masa depan. – UTUSAN