PETALING JAYA: Bagai tiada noktah, kemelut antara pelakon, Abby Abadi dan menantunya, Aslam terus menuai perhatian dalam kalangan warganet.
Terbaharu, Abby menyelar kenyataan Aslam yang mendakwa sudah memohon maaf terhadapnya secara peribadi.
Menerusi perkongsian di Threads, Abby turut meminta menantunya itu mengemukakan bukti yang menunjukkan dirinya sudah bertemu dan memohon maaf dengannya seperti yang didakwa sebelum ini.
“Bila minta maaf itu Aslam? Dah alang-alang muat naik dekat Thread ini. Cuba terangkan dekat sini masa dan keadaan masa minta maaf itu macam mana? Ada apa-apa yang keluar tak dari mulut saya waktu itu?,” katanya.
Teguh mempertahankan anak perempuannya, Abby turut mempersoalkan kekerapan Aslam bertemu dengannya sejak berkahwin dengan Marissa pada tahun Disember 2023.
“Berapa lama dah kahwin dengan anak saya? Berapa kali dah datang jumpa saya? Ada pernah bersembang dengan saya tak?
“Mengaku bersalah kat Thread ini tapi apa kesalahannya? Boleh tahu? Minta cerita semua dekat sinilah sebab semua orang nak tahu ini.
“Pastu akhir sekali nak tanya, orang maki hamun anak saya, kenapa tak pernah pertahankan?,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon drama Gerak Khas tersebut turut berbalah dengan netizen di ruangan komen dan bertegas menyalahkan Aslam yang menjadi asbab hubungannya dengan Marissa mula renggang sejak berkahwin.
Perang dingin mentua dan menantu itu mula tercetus selepas Aslam telah memuat naik kenyataan yang mendakwa dirinya sudah meminta maaf kepada Abby secara peribadi.
Malah, Aslam juga mengakui khilafnya mengamalkan poligami disebabkan rasa bertanggungjawab dan mahu mempertahankan maruah Marissa.
Aslam memuat naik kenyataan tersebut susulan namanya dipetik oleh ibu mentuanya itu yang meminta lelaki tersebut memohon maaf terhadapnya.-UTUSAN