PETALING JAYA: Penerbit, Erma Fatima menegaskan drama Bidaah dihasilkan bertujuan mengkritik penunggang agama bukannya menyindir mana-mana ulama seperti didakwa sesetengah pihak.
Dakwaan itu timbul kerana ada yang mengaitkan lilitan serban karakter Walid menyerupai sosok individu beragama yang digelar ‘Habib’.
“Saya tidak mengaitkan mana-mana habib dalam cerita ini atau cuba untuk memerli mana-mana ulama.
“Mungkin kekhilafan pihak kami ialah pakaian dan lilitan serban. Pasukan wardrobe dan pengarah saya bukan orang dekat dengan kelompok agamawan atau ke masjid. Mereka tidak tahu.
“Mereka menyangka lilitan dan serban itu digunakan oleh semua orang agama di seluruh dunia. Jadi ada yang menyangka kami sindir pihak tertentu.
“Saya tidak sangka isu itu besar sampai menuduh drama saya begitu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tegas Erma lagi, dia tidak pernah mahu bermusuh dengan mana-mana ulama sebaliknya mahu menunjukkan bagaimana agama digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Ajaran sesat ini sudah wujud sejak zaman sahabat lagi. Agama lain pun ada yang sesat.
“Cerita ini berasal daripada peristiwa sebenar tapi bukan daripada mana-mana ulama.
“Niat kami hanyalah untuk memerangi ajaran sesat yang selalunya melinatkan individu yang memperalatkan agama. Itulah masalah sebenarnya,” jelasnya.
Terdahulu, Bidaah meraih 2.5 bilion tontotan di aplikasi Viu dan menjadi drama paling popular di Malaysia dan Indonesia. – UTUSAN