MELAKA: Daripada 15 biasiswa yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke wilayah Guangxi, China, lima tempat diperuntukkan khusus untuk anak Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Minzu Guangxi telah menandatangani surat niat (LOI) untuk mewujudkan fakulti dan makmal kecerdasan buatan (AI).
Katanya, ppendidikan, kesenian, pelancongan dan teknologi dikenal pasti antara sektor yang bakal menerima manfaat hubungan bilateral antara Melaka dan Guangxi.
“Kita turut melancarkan Perikatan Industri-Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) China-Malaysia, di samping meraikan pencapaian Kolej Komuniti Masjid Tanah yang meraih Anugerah Perak di World Skills TVET College China International Institution 2024. Selain itu, jumlah kehadiran pelancong Guangxi ke Melaka turut meningkat.
“Ini adalah perkembangan yang baik dalam satu hubungan bilateral antara Melaka dan wilayah Guangxi. Kita akan mulakan beberapa siri lagi persefahaman (selepas) ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Lawatan Rasmi Gabenor Wilayah Guangxi di sini, semalam.
Hadir sama Gabenor Wilayah Guangxi, Lan Tianli.
Tambah Ab. Rauf, kedua-dua pihak akan meneroka lebih banyak kerjasama secara berkala membabitkan pelbagai sektor yang mampu menjana manfaat bersama.
“Kita akan melihat beberapa perkembangan baharu di antara hubungan dua hala ini merangkumi beberapa sektor yang (akan) memberikan pulangan yang baik kepada kedua-dua wilayah,” ujarnya. – UTUSAN