SERDANG: Dakwaan bekalan beras putih tempatan (BPT) ‘hilang’ dari pasaran negara ditepis melalui peningkatan had belian makanan ruji itu sebanyak lima kampit bagi setiap individu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peningkatan had belian tersebut membuktikan bahawa bekalan BPT di pasaran sudah stabil.
“Selama ini orang asyik bercakap soal ‘mana ada BPT’ tetapi apabila kita adakan dalam pasaran, nampaknya BPT tidak menjadi rebutan kerana beras import pun harganya tidak begitu jauh iaitu sekitar RM30 ke RM32.
“Sebelum ini, ia menjadi bising kerana harga beras import itu sampai ke RM40 (jadi) mereka cari BPT,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Mohamad hadir ke Perhimpunan Bulanan dan Majlis Rahmah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan 2025 di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Mohamad berkata, peningkatan had belian itu bagi memastikan bekalan BPT tidak rosak.
“Sekarang sudah boleh beli tidak lebih dari lima kampit, sebab kita mahu ia berjalan. Apabila beras ini lama tidak ‘berjalan’ (dijual), ia akan menjadi rosak.
“Kita harap semua penduduk terutama golongan yang bawahan boleh membeli dengan harga RM26. Jika tidak ada, boleh laporkan,” katanya. – UTUSAN