Bella, tujuh rakan mengaku salah ugut bunuh, pukul pemuda

Bella, tujuh rakan mengaku salah ugut bunuh, pukul pemuda

BELLA dan tujuh rakan lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan termasuk mengugut dan mencederakan seorang lelaki 18 April lalu.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita dan tujuh rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan melakukan ugutan bunuh, memukul, mengurung dan mencederakan seorang pemuda, 18 April lalu.

 

Tertuduh, Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, atau dikenali sebagai Bella mengaku bersalah atas tiga pertuduhan namun mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan.

 

Bagaimanapun, tujuh rakannya, Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20,  dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19, mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab.

 

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka dan dua lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan ugutan bunuh, melakukan pemerasan dan mengurung secara salah serta mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd. Ridzwan, 22, di sebuah rumah di Blok J, Pangsapuri Daisi, Jalan Bunga Daisi, Plentong, Masai, di sini antara pukul 10 malam 18 April hingga 19 April lalu.

 

Mereka didakwa di bawah Seksyen 506, Seksyen 384, Seksyen 323 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab. Latif dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman serta Nur Fatihah Mohd. Nizam.

 

Kesemua tertuduh diwakili peguam bela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahin Mohd. Yazid dan T. Nadarajan.

 

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun Norfarahin memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan yang rendah terhadap anak guamnya.

 

Mahkamah kemudiannya membenarkan Bella dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin, manakala RM16,000 setiap seorang bagi tujuh rakannya 

 

Mahkamah turut menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh mengemukakan fakta kes dan hukuman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya