Bekas pengurus Petronas tidak mengaku sebar maklumat syarikat

Bekas pengurus Petronas tidak mengaku sebar maklumat syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit syarikat itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairul ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas didakwa cuba mendedahkan maklumat dokumen, Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros antara pukul 3.19 hingga 3.21 petang, pada 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 511 Kanun Keseksaan pula membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A (1), jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM50,000 atas alasan perbuatan tertuduh itu merupakan kesalahan yang serius dan melibatkan kewangan negara.

“Kes ini mampu untuk memberikan implikasi kepada kewangan negara dan ini perlu mengira prinsip kepentingan awam dan bukan individu.

“Jumlah ini adalah munasabah, mengambil kira maklumat sulit Petronas cuba diberikan kepada syarikat luar,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Fadhli Sutris meminta wang jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan sentiasa memberikan kerjasama semasa siasatan dijalankan.

“Anak guam baru sahaja melaporkan diri semalam di tempat kerja barunya di Sarawak setelah dibuang kerja sejak Disember lalu.

“Pendapatannya belum stabil dan perlu menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil. Oleh itu, saya mohon jumlah jaminan rendah sekitar RM3,000 hingga RM5,000,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN