BACHOK: Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Puteri Nur Ain Zulaikha Abdullah, 18, yang meraih keputusan 9A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sebak selepas terpilih menjadi salah seorang penerima bantuan lesen memandu percuma tajaan Akademi Memandu Kist Sdn.Bhd (AmKist)
Puteri Nur Ain Zulaikha berkata, sumbangan itu membantu meringan beban keluarga keluarga angkatnya memandangkan kos untuk mendapatkan lesen agak tinggi.
“Saya tidak terfikir langsung untuk mengambil lesen motosikal mahupun kereta dalam masa terdekat kerana mahu memberi fokus sambung belajar. Untuk sambung belajar perlukan banyak wang.
“Namun selepas menerima panggilan dari Amkist yang mahu menaja, saya teruja dan bersyukur kerana ia amat membantu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pengurus Pengurusan dan Pentadbiran Amkist, Nurul hidayat Mohd. Kasim berkata, program beri lesen percuma kepada kumpulan sasaran masuk tahun ketiga yang membabitkan pelajar asnaf, yatim dan pelajar cemerlang.
Katanya, seramai lapan pelajar yang cemerlang dalam SPM menikmati bantuan tersebut.-UTUSAN