MELAKA: Seorang bekas penghantar surat (despatch) terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 10.8 kilogram, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Yee Kok Chong, 44, pada akhir kes pembelaan.
Mohd. Radzi dalam penghakimannya berpendapat, kegagalan pendakwaan memanggil saksi penting yang ditawarkan kepada pihak pembelaan telah menyebabkan prejudis terhadap pembelaan tertuduh.
“Pendakwaan gagal memanggil saksi penting yang telah ditangkap dan dituduh bersama Kok Chong di Mahkamah Majistret. Kegagalan memanggil saksi berkenaan telah memprejudiskan pihak pembelaan dalam membuat pembelaan terhadap tertuduh.
“Dengan itu mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan satu keraguan munasabah terhadap tertuduh. Oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah,” katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 10,898 gram kira-kira pukul 7.05 malam di bangku kayu, Persimpangan Lereh 3 dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Januari 2021.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Saleh manakala tertuduh diwakili peguam M. Haresh dan Ramzani Idris.
Seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan. – UTUSAN