PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, mengakui kemelut rumah tangganya memberi kesan terhadap kerjaya seninya.
Berikutan itu, tujuan dia memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr Rushdi, adalah bagi melindungi diri dan kerjaya seninya.
“Kami semua cari makan. Bayangkan jika dalam nasi kita, ada orang letak pasir.
“Saya bukan orang kaya, jadi saya kena buat sesuatu untuk melindungi diri saya dan kerjaya saya,”katanya.
Nora berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Nora hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Sarah Mohd Ali.
Terdahulu, menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini, Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafiza Ariffin, memaklumkan usaha untuk memulihkan rumah tangganya dengan Dr Rushdi sudah melalui pelbagai peringkat termasuklah sesi pertemuan dan perbincangan bersama pihak terbabit tetapi masih tidak mencapai kata penyelesaian.
Malah, jelas Nora, konflik tersebut telah menjejaskan keselamatan serta merosakkan reputasinya sebagai seorang artis yang sudah bergiat lama dalam industri muzik. -UTUSAN