SABAK BERNAM: Beberapa sistem pam kawalan banjir di Selangor dikesan gagal berfungsi dan menjadi punca kelewatan usaha mengawal situasi banjir di lokaliti kritikal.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu dikenal pasti selepas bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) belum disambungkan sepenuhnya di kawasan banjir.
Jelas beliau, keadaan itu menjadi punca kelewatan dalam usaha mengawal air banjir terutama di Taman Sri Muda, Shah Alam yang kerap terjejas setiap kali hujan lebat.
“Kami akan segera berhubung dengan TNB bagi memastikan bekalan tenaga elektrik disalurkan tanpa lengah.
“Ini penting supaya sistem pam dapat diaktifkan dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir susulan,” katanya pada majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, kelewatan sambungan bekalan elektrik itu menjejaskan kecekapan sistem kawalan banjir yang menjadi benteng utama kepada lokasi berisiko tinggi.
Tambah beliau, beberapa projek infrastruktur tempatan berkaitan pengurusan banjir masih diteruskan.
“Namun, penyelarasan projek itu perlu dipercepatkan bagi memastikan kesiapsiagaan sistem yang lebih mantap pada masa depan.
“Pelaksanaannya memerlukan kerjasama erat dan tindakan pantas antara agensi terlibat. Kita tidak mahu terus berdepan risiko kerugian dan kesan buruk akibat faktor kelewatan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lebih 1,000 mangsa terjejas akibat banjir di sekitar daerah Petaling dan Klang kelmarin dengan lebih 200 keluarga dilapor berpindah ke enam pusat pemindahan sementara (PPS).
Lokasi terjejas teruk antaranya melibatkan kawasan Taman Sri Muda, Padang Jawa dan Meru, Klang. Situasi kini bagaimanapun hampir pulih sepenuhnya berikutan cuaca baik sejak semalam. – UTUSAN