PUTRAJAYA: Hampir kehilangan nyawa akibat pendarahan otak, seorang bekas pengurus korporat bangkit membina empayar perniagaan madu kelulut sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Hisham Yusoff, 51, bukan nama asing dalam perusahaaan madu kelulut di negara ini, malah produknya telah berjaya menembusi pasaran luar negara.
Di sebalik kejayaan itu, tersembunyi pelbagai kisah duka termasuk mengalami pelbagai komplikasi kesihatan akibat pendarahan otak pada 2013.
Hisham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bayu Gagah Marketing (M) Sdn. Bhd. berkata, peristiwa hitam itu menyebabkan dia hilang pekerjaan, kesukaran bercakap dan berdepan masalah ingatan.
Katanya, segalanya berubah selepas seorang individu menyarankan mengamalkan madu kelulut bagi merawat penyakit dialaminya, selain mengambil ubat-ubatan hospital.
“Saya hampir putus harapan untuk meneruskan kehidupan selepas menjalani pembedahan, namun segalanya berubah selepas saya mengenali khasiat madu kelulut ini.
“Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang sebelum memulakan ladang kelulut secara kecil-kecilan di kampung sendiri di Kodiang, Kedah pada 2014 dengan bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, sekitar 2020, beliau mengembangkan perusahaan itu dengan kerjasama Teraju Sarawak, Universiti Sains Malaysia (USM) dan 150 pengusaha kelulut B40 di Sarawak secara moden di enam kawasan.
Hisham berkata, program yang dikenali sebagai Smart Community Program itu bertujuan membantu meningkatkan pendapatan golongan penternak kelulut B40 di Sarawak.
“Tidak ramai yang tahu khasiat luar biasa di sebalik madu kelulut, malah ia dijadikan alternatif untuk rawatan pelbagai penyakit,” katanya.
Ujarnya, berkat kesabaran dan kegigihan, madu kelulutnya kini berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS), China, Taiwan, Jepun, Brunei, Australia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Jelasnya, produknya pernah mendapat pengiktirafan The BrandLaureatte World Best Halal Brand, selain pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai jenama madu kelulut pertama sampai di puncak Everest pada 2016, yang tidak beku pada suhu -30 darjah Celsius.
Pengiktirafan itu berikutan kejayaan dua pendaki negara, Azim Afif Ishak dan Farul Aibid yang berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu dengan membawa madu kelulut berkenaan. – UTUSAN