PUTRAJAYA: Pertama kali bergandingan, pelakon, Amelia Henderson, mengakui mengambil masa untuk membina keserasian dengan Sharnaaz Ahmad.
Namun begitu, Amelia bersyukur kerana Sharnaaz sangat profesional membuatkan adegan perkahwinan yang menjadi babak pertama lakonan berjalan lancar.
“Saya kenal Sharnaaz, tapi tidak pernah berjumpa atau ada peluang bercakap dengan dia. Jadi mahu bina keserasian kurang sikit.
“Kalau jumpa pun melalui sesi bacaan skrip, kami ada bercakap sikit tapi belum cukup rapat sebagai kawan.
“Bila masuk set penggambaran, adegan kahwin adalah scene pertama saya dan Sharnaaz, kalau difikirkan itu pun sudah cukup kekok.
“Tapi kerja dengan Sharnaaz sangat senang sebab dia begitu profesional. Kami masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Amelia ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Blood Brothers Bara Naga, di IOI City Mall, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, pada hari kedua di set penggambaran, Amelia yang memegang watak Sheila dalam filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu juga mengakui masih gementar melakonkan adegan romantis.
“Pada malam yang sama, kami juga harus memainkan babak yang agak tegang. Saya sudah mula gementar dan tidak tahu bagaimana untuk melakonkan babak itu.
“Namun, saya sangat bersyukur kerana Sharnaaz banyak memberi sokongan kepada saya.
“Saya kena ucap terima kasih kepada Sharnaaz kerana dia seorang pelakon yang sangat hebat. Jika bukan Sharnaaz sebagai Ghaz, lakonan saya tidak ke mana.
“Dia banyak membantu saya untuk mengeluarkan satu sudut lakonan yang saya rasa sangat beremosi,” tambahnya.
Menjadi satu-satunya bunga dalam barisan pelakon, pemenang Anugerah Star Model 2019 itu juga turut melayangkan terima kasih kepada Shukri Yahaya, Syafiq Kyle.
“Saya bersyukur kerana terlibat dengan barisan pelakon yang sangat hebat seperti Sharnaaz, Shukri yang saya harap ada banyak adegan dengannya dan Syafiq sebab buat yang terbaik.
“Saya pula masuk dalam bilik yang di dalam itu penuh dengan lelaki, saya seorang perempuan dan tidak kenal dengan sesiapa. Sudah tentu kita gementar.
“Tapi semua pelakon Blood Brothers membuatkan saya saya selamat dan meraikan saya,” tambahnya.
Blood Brothers menceritakan tentang persaudaraan dalam sindiket mafia dikenali sebagai Naga. Bagaimanapun kesetiaan mereka teruji dengan beberapa tragedi.
Filem ini sudah menemui penonton bermula 10 April lalu. -UTUSAN