PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia, Shahrul Aman Mohd. Shari yang meninggal dunia pagi tadi.
Anwar dalam kenyataan di Facebooknya turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diberi keampunan.
“Mendoakan rohnya diberi keampunan dan keluarganya diberi kekuatan setingginya saat ini,” katanya hari ini.
Selain memegang jawatan dalam Ikram, Shahrul Aman pernah memimpin Bersih sekitar 2018.
Sementara itu, IKRAM menerusi hantaran di Facebook memaklumkan jenazah Shahrul Aman akan disolatkan selepas solat zuhur di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan.- UTUSAN