PETALING JAYA: Seorang anggota polis berpangkat koperal putus telinga kiri selepas digigit seorang lelaki warga Nigeria yang bertindak agresif ketika cuba ditahan di sebuah klinik swasta di Metro Prima dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.03 pagi itu, mangsa yang merupakan anggota peronda (MPV) dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai seorang pesakit warga asing yang mengamuk di premis berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan mendapati suspek berusia 38 tahun itu membuat kacau di sebuah klinik di Kepong dekat dan telah ditahan oleh anggota Balai Polis Kepong.
Katanya, mangsa sedang bertugas menggunakan kenderaan MPV diarahkan membantu anggota Balai Kepong membawa suspek balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
“Semasa memasukkan suspek ke dalam kereta di bahagian tempat duduk belakang melalui pintu sebelah kanan dalam keadaan bergari tangan belakang tiba-tiba bertindak agresif dan tidak memberikan kerjasama.
“Suspek telah mengigit telinga kiri mangsa sehingga terputus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 325/ 353 Kanun Keseksaan dan Sekyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- UTUSAN