Dedah maklumat peribadi punca jenayah siber berleluasa

Dedah maklumat peribadi punca jenayah siber berleluasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelalaian manusia dalam mengurus maklumat peribadi dikenal pasti punca utama jenayah siber masih berleluasa di negara ini walaupun pelbagai usaha dan kempen dilakukan pihak berkuasa. 

Ketua Bahagian Siber Sekuriti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin berkata, penjenayah kini tidak lagi bergantung kepada taktik tradisional, sebaliknya memanipulasi tingkah laku manusia untuk memperdaya mangsa sehingga kerugian mencecah jutaan ringgit.

Menurutnya, teknik moden seperti deepfake (video palsu) semakin digunakan dalam jenayah penipuan termasuk menyamar sebagai individu berjawatan atau ternama yang menghasilkan video dan audio kelihatan asli menggunakan algoritma canggih. 

“Penjenayah mengumpul profil mangsa melalui media sosial daripada tabiat, personaliti, minat hingga kecenderungan mudah panik, sebelum menggunakan maklumat tersebut untuk menjadikan serangan lebih meyakinkan dan sukar dikesan.

“Ini berlaku akibat sambil lewa masyarakat dengan mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat, aktiviti seharian sebagainya di media sosial memudahkan penjenayah meniru atau mengambilnya bagi digunakan untuk kegiatan menipu.

“Hanya dengan data asas, mereka boleh menjejak lokasi rumah menerusi peta digital, mengeksploitasi kelemahan sistem, dan akhirnya memanipulasi mangsa tanpa perlu bersemuka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 67,735 kes jenayah dalam talian melibatkan kerugian lebih RM2.7 bilion direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.

Mohamad Fauzan, jenayah siber ini dapat ditangani sekiranya pengguna sendiri sedar terhadap ancaman penipuan dalam talian dan mengetahui garis panduan menggunakan Internet tanpa terdedah dengan penjenayah siber.

“Kita ada manual keselamatan, tetapi ramai tidak membacanya. Teknologi takkan dapat melindungi pengguna yang tidak tahu langkah-langkah keselamatan siber,” katanya. 

Beliau berkata, hal berkaitan jenayah siber ini menuntut kerajaan dan penyedia platform memperketat kawal selia termasuk keperluan pengesahan akaun atau eKYC serta had umur penggunaan media sosial.

“Namun perubahan peraturan sahaja tidak memadai jika masyarakat masih mengambil ringan keselamatan digital. 

“Pendidikan keselamatan siber perlu dimulakan seawal usia kanak-kanak. Pendedahan awal mengenai kepentingan kata laluan kuat, pengesanan mesej palsu, serta cara melindungi identiti digital wajar diterapkan sejak tadika dan sekolah rendah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN