KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, 38, berasa kecewa apabila terus dilabel sekadar bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), walaupun sudah hampir 20 tahun bergiat dalam industri seni.
Menurut Amylea, persoalan mengenai status kerjaya seninya yang sering dibangkitkan sesetengah pihak bukan sahaja mengguris hati, malah membuatkan dirinya seolah-olah dilupakan dalam dunia hiburan.
“Saya rasa kecewa, saya aktif menulis lagu untuk artis lain dan pernah lancarkan lagu sendiri. Tetapi soalan begitu seakan-akan menidakkan usaha saya selama ini.
“Bertahun-tahun saya membina katalog dan profil diri yang macam-macam boleh diceritakan, namun masih ada yang hanya melihat saya sebagai ‘budak AF’,” katanya ketika ditemui di majlis Raya bersama Studio Village, di sini, semalam.
Amylea berkata, layanan tersebut jarang diterima rakan-rakan artisnya yang lain seperti Stacy, Akim dan Hazama, walaupun mereka dari program yang sama.
Katanya, walaupun dirinya tidak sering menjadi tumpuan, dia tetap meneruskan karyanya dengan cara tersendiri.
“Saya tahu saya bukan artis viral atau popular, tetapi saya melakukan setiap kerja dengan baik terutama dalam menjayakan karya yang saya cipta.
“Saya bukan mahu dipuja atau diberi perhatian lebih, cukup sekadar diiktiraf atas usaha dan perjalanan seni saya selepas AF.
“Bila orang asyik tanya tentang masa lalu, saya rasa macam pencapaian sepanjang 20 tahun ini tidak bermakna,” katanya.