KUALA LUMPUR: Bahangnya kian terasa, penyanyi rock lagenda, Datuk Amy Search tidak sabar mahu menyajikan persembahan yang bertenaga buat peminat yang hadir ke Amy Search Magic Konsert Solo, 26 April ini.
Bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Amy berkata, dia bersyukur kerana masih diberi kekuatan dan kesihatan untuk berdiri di pentas besar demi menghiburkan peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya.
“Setiap kali dapat menjayakan konsert saya dapat rasai satu kepuasan. Sebagai penghibur, saya sentiasa mahu berada di atas pentas dan menghiburkan peminat.
“Bagi saya, semakin kerap membuat persembahan, semakin banyak ilmu dan pengajaran baru yang dapat saya pelajari,” katanya.
Dalam pada itu, konsert yang akan berlangsung kurang dua minggu tersebut turut membuktikan pencapaian istimewa penyanyi lagu-lagu rock malar segar itu dalam kerjaya seninya selama lebih empat dekad.
Menurut Amy, meskipun usianya sudah mencecah 66 tahun, dia tetap peka dan menjaga kesihatannya supaya kekal berstamina tinggi sepanjang konsert yang dijangkan berlangsung selama dua jam setengah itu nanti.
“Sudah tentu di usia sekarang ini saya perlu pastikan diri kekal sihat dan bertenaga. Penyanyi ini umpama pemain bola kerana perlu kekalkan stamina supaya dapat berikan persembahan yang mantap.
“Untuk saya mengadakan persembahan selama dua jam setengah itu adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat berinteraksi dengan peminat selain berpeluang menyanyi bersama. Ia juga membawa satu kenangan terindah,” katanya.
Enggan menghampakan peminat, Amy turut menjanjikan bakal menyanyikan sekitar 20 hingga 25 lagu hits kegemaran ramai pada malam istimewa itu.
“Sudah tentu lagu kegemaran kalian tak perlu saya nak cakap, saya akan nyanyikan. Saya janji akan berikan persembahan yang terbaik.
“Cuma saya nak anda hadir, dan kita akan sambut Aidilfitri bersama dalam suasana yang penuh bermakna,” katanya.
Konsert solo bersejarah itu turut menampilkan pengarah konsert berpengalaman, Jennifer Thompson, yang bertanggungjawab memastikan perjalanan konsert berjalan lancar dan memberi kenangan terindah buat semua yang hadir.
Sebelum ini, Rock It Like Amy diumumkan sebagai tema konsert sekali gus menggalakkan peminat menggayakan fesyen yang mencerminkan semangat dan identiti rock n’ roll.
Tiket konsert boleh didapati diusia platform www.wowtix.com.my dengan harga serendah RM188 hingga RM788. – UTUSAN