Ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light sesat, menyeleweng 

Ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light sesat, menyeleweng 

Datuk Dr. Nooh Gadot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light sesat, menyeleweng serta bercanggah dengan ajaran Islam dan hukum syarak, menurut keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Pengerusinya, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, ajaran itu menyeleweng apabila mempercayai Muhammad al-Hassan al-Askari (Imam Syiah ke-12) sebagai Imam al-Mahdi yang dikatakan masih bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.

Katanya, ajaran berkenaan mendakwa Ahmad al-Hasan sebagai Mahdi (penolong Imam al-Mahdi) yang pertama, manakala Abdullah Hashem sebagai Mahdi yang kedua selain mendakwa Imam al-Mahdi iaitu Muhammad ibn al-Hassan al-Askari mempunyai para penolong atau ansar yang terdiri daripada 12 orang yang dianggap sebagai keturunannya secara maknawi atau rohani. 

“12 orang ini dianggap sebagai Mahdi-Mahdi kecil yang menjadi wakil kepada Imam Mahdi daripada satu generasi kepada generasi sehingga Imam al-Mahdi keluar daripada persembunyiannya.

“Mereka juga mendakwa Ahmad al-Hasan yang digelar al-Yamani berperanan sebagai utusan kepada Imam al-Mahdi dan akan membawa syariat baharu dan terakhir yang menyempurnakan ajaran dan syariat para Nabi terdahulu. Oleh itu, syariat yang dibawa oleh Ahmad al-Hasan akan diubah sesuai dengan zaman semasa,” katanya dalam kenyataan. 

Ajaran itu turut membuat dakwaan palsu terhadap para Rasul, Nabi dan isteri-isteri mereka, antaranya mendakwa isteri Nabi Nuh AS diselamatkan daripada banjir besar walaupun pada awalnya menentang ajaran Nabi Nuh AS. 

“Lebih membimbangkan pengkhianatan isterinya yang dimaksudkan dalam al-Quran adalah kerana dia melakukan hubungan terlarang dengan lelaki lain dan melahirkan salah seorang anak yang kemudiannya tenggelam dalam banjir tersebut,” katanya. 

Ajaran sesat itu mempromosikan konsep rajáh, iaitu kelahiran semula manusia yang telah meninggal dunia, yang bercanggah dengan akidah Islam sebenar.

“Umat Islam wajib menjauhkan diri daripada ajaran ini dan melarang sebarang penyebaran, pengajaran, penerbitan atau sebarang bentuk publisiti berkaitannya.

“Bagi mereka yang telah terlibat dalam ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam kekal berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Waljamaah dalam aspek akidah berpandukan manhaj Asyairah dan Maturidiah, dalam syariah mengikut mazhab Shafie serta mazhab muktabar lain, dan dalam tasawuf mengikut aliran sahih seperti Imam al-Junaid dan Imam al-Ghazali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN