SEREMBAN: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan bersetuju supaya langkah melupuskan diambil bagi menangani isu anjing liar di kawasan penempatan majoriti orang Melayu dan Islam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah tersebut perlu diambil susulan banyaknya aduan diterima daripada penduduk mengenai isu anjing liar.
“Kalau semua ahli Dewan bersetuju, bagi mengatasi masalah anjing liar ini yang dilihat membimbangkan, saya rasa kita perlu lupuskan sebahagian anjing-anjing ini bagi mengawal keadaan tersebut.
“Pihak berkuasa tempatan akan menjalankan tanggungjawab dalam perkara ini kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan,” katanya pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini, hari ini.
Aminuddin dalam pada itu berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk memahami isu yang dihadapi dan langkah yang akan diambil.
“Saya faham akan ada NGO yang akan membuat bantahan, tetapi saya berharap mereka faham bahawa terdapat kemalangan berlaku disebabkan anjing liar.
“Kerajaan negeri bukan mahu melupuskan semua, tetapi hanya sebahagian anjing liar di kawasan yang memberikan ancaman,” katanya.
Sementara itu, Yew Boon Lye (PH-Chuah) turut meminta langkah sama turut diambil di kawasan bukan majoriti Melayu.
“Saya berharap tindakan itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh iaitu bukan saja di kawasan Melayu tetapi juga bukan Melayu,” katanya.
Ketua Pembangkang, Mohamad Hanifah Abu Baker juga menyokong supaya penyelesaian terhadap isu anjing dapat diambil dengan lebih tegas.
Yang Dipertua DUN, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman kemudiannya memutuskan agar kaedah pelupusan sebahagian anjing liar di kawasan penempatan Melayu dapat diperincikan dan diserahkan kepada Exco berkaitan untuk tindakan susulan. – UTUSAN