Ada agenda tersirat mahu tukar nama Keretapi Tanah Melayu

Ada agenda tersirat mahu tukar nama Keretapi Tanah Melayu – Veteran UMNO

KERETAPI Tanah Melayu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Veteran UMNO menempelak cadangan menukar nama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana jelas mempunyai agenda tersirat.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, cadangan itu juga dilihat bertujuan untuk melenyapkan nama ‘Tanah Melayu’ pada nama KTMB yang menjadi legenda sejarah penubuhan KTMB pada 1885.

“Tiada sebarang keperluan untuk menukar nama KTMB kepada satu nama lain kerana sehingga ini KTMB berkembang pesat dengan menyediakan segala kemudahan sesuai dengan kemajuan negara dalam menyediakan pengangkutan moden.

“Apa yang wartawan itu faham dengan nilai sejarah KTMB? Dia hanya seorang wartawan sukan yang mengetahui hal sukan dan mampu mengulas bidang kesukanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Cadangan perubahan nama itu disuarakan oleh seorang bekas pengarang berita sukan sebuah agensi media tempatan yang berpendapat, nama Keretapi Tanah Melayu tidak lagi relevan kerana tren masa kini dikuasakan oleh elektrik manakala istilah ‘Tanah Melayu’ merujuk kepada zaman Malaya.

Mustapha berkata, negara ini semakin huru-hara dengan munculnya kumpulan yang buta sejarah dan tiada jati diri sebagai rakyat Malaysia yang mendukung cita-cita Rukun Negara.

Pada masa sama, KTMB menjelaskan nama syarikat itu adalah sebahagian daripada identiti korporat dan mencerminkan warisan serta sejarah Malaysia sejak penubuhannya pada 1885.

Walaupun terdapat perubahan dalam perkhidmatan mereka, termasuk pengenalan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) dan penambahbaikan jaringan KTM Komuter serta KTM Intercity, mereka tetap mempertahankan nama yang membawa nilai sejarah.

KTMB menganggap cadangan penukaran nama sebagai maklum balas yang bernas tetapi menegaskan perkhidmatan mereka berorientasikan masa depan dengan pelbagai inovasi dan peningkatan untuk memenuhi keperluan pengguna moden.

KTMB juga menekankan fokus utamanya adalah untuk memperkasa sistem pengangkutan tanpa mengabaikan warisan nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN