ALOR SETAR: Lembaga Tabung Haji (TH) menerima sebanyak 85,000 permohonan rayuan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini daripada para pendepositnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, permohonan tersebut kini dipertimbangkan melalui kekosongan yang diperoleh TH daripada penolakan jemaah yang terpilih ekoran pelbagai faktor termasuk kesihatan.
Selain itu, kata beliau, pihaknya juga berharap dapat memenuhi rayuan tersebut melalui kuota tambahan haji yang dipohon kepada kerajaan Arab Saudi sebanyak 10,000 jemaah itu.
“Ada sekitar 85,000 pendeposit TH membuat rayuan untuk menunaikan haji tahun ini. Jadi yang ini kalau ada menolak atas sebab tertentu seperti, sakit tidak dapat pergi, yang rayuan 85,000 pendeposit itu yang akan mengisi.
“Rakyat kita sangat bersungguh untuk menunaikan ibadat. Kerajaan juga masih menunggu keputusan rayuan daripada kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji tahun ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas Program Santuni Asnaf Sempena Sambutan Aidilfitri di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Parlimen Kuala Kedah di Kuala Sungai dekat sini, hari ini.
Berkaitan kuota tambahan itu, tambah beliau, pihaknya sentiasa mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Haji dan Umrah di Arab Saudi bagi mendapatkan keputusan.
“Kita masih lagi menunggu setelah mengemukakan permohonan sebulan yang lepas. Kita ikuti dan semalam saya hantarkan pesanan kepada rakan sejawat Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi. Kita masih lagi menunggu kuota tambahan ini.
“Bukan Malaysia sahaja yang memohon tetapi satu dunia juga memohon dan saya percaya kerajaan Arab Saudi khususnya Kementerian Haji dan Umrah akan mempertimbangkan permohonan dan rayuan dari negara ini. Saya tidak boleh tentukan bila namun sebelum penerbangan terakhir jemaah haji kita nanti,” jelasnya. – UTUSAN