KLANG: Seramai 78 penumpang tidak sedar mereka ‘menyabung’ nyawa apabila menaiki sebuah bot yang tidak mempunyai perlindungan insurans serta lesen tamat tempoh di perairan Tenggara Sungai Lima, Pulau Ketam, di sini, semalam.
Malah, bot tersebut juga didapati membawa lebih penumpang berbanding 30 orang yang dibenarkan.
Bagaimanapun, bot penumpang itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menerusi Kapal Maritim (KM) Danga yang sedang membuat rondaan dan operasi khas MARDOF pada pukul 6.15 petang.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan ke atas bot terbabit mendapati pelbagai kesalahan dilakukan juga di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) iaitu lesen dan insurans tamat tempoh.
“Hasil pemeriksaan awal, terdapat dua orang lelaki warga tempatan, seorang berusia 60 tahun bertindak selaku nakhoda bot berkenaan dan seorang kru yang berusia 18 tahun.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati, bot melakukan pelbagai kesalahan dibawah MSO 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, iaitu lesen dan insurans tamat tempoh dan membawa lebihan penumpang seramai 78 orang dan bot tersebut juga melakukan pengubahsuaian yang jelas melanggar syarat sah lesen,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, bot dan nakhoda dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah MSO 1952.
“Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang ditetapkan dan tidak akan berkompromi jika mendapati terdapat individu gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.
“Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” ujarnya. – UTUSAN