SUBANG JAYA: Kementerian Pengangkutan menyumbangkan sebanyak 55 motosikal percuma kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban mangsa yang kehilangan kenderaan, selain membantu mereka meneruskan kehidupan seharian dengan lebih mudah.
“Kebanyakan penerima adalah penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru. Sumbangan motosikal ini diberikan tanpa sebarang kos tambahan, termasuk pendaftaran cukai jalan, perlindungan insurans selama setahun dan sijil pemilikan kenderaan yang didaftarkan atas nama penerima sendiri.
“Semua penerima telah melalui proses saringan dan disahkan motosikal mereka telah rosak atau musnah sepenuhnya akibat kebakaran.
“Bantuan ini bukan sahaja membantu pergerakan mereka, malah ia dapat digunakan demi kelangsungan untuk mencari nafkah dan menguruskan kehidupan seharian,” katanya semasa sesi penyerahan di pekarangan LRT Putra Heights di sini, hari ini.
Menurut Anthony, pihak kementerian amat berterima kasih kepada syarikat Spanco yang tampil menaja kos pembelian motosikal dengan harga istimewa RM5,000 seunit, berbanding harga pasaran yang mencecah RM5,800.
“Saya sendiri telah berhubung dengan pihak Spanco dan mereka bersetuju untuk menyalurkan motosikal ini pada harga khas bagi membantu mangsa yang terkesan. Kami amat menghargai kerjasama ini,” katanya. – UTUSAN