KOTA BHARU: Seramai 306 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara merekodkan penurunan berat badan sebanyak lima kilogram (kg) ke atas dalam tempoh enam bulan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, rekod itu diperoleh selepas pihaknya memperkenal program kesihatan Weellness Hub bagi menepati syarat indeks jisim badan (BMI).
Katanya, seramai 1,181 anggota menyertai program itu dan seramai 1,021 orang daripada jumlah itu berjaya menurunkan berat badan.
“Seramai 306 orang merekodkan penurunan sebanyak lima kg ke atas. Daripada jumlah itu, seramai 260 orang termasuk dalam berat badan terbaik.
“Jumlah itu mencatatkan penyusutan kadar obesiti dalam kalangan anggota sebanyak 33 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Kelantan di Balai Bomba Tunjong di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, JBPM meramalkan tiada kemarau ekstrem berlaku semasa peralihan fasa Monsun Barat Daya berdasarkan kepada keadaan cuaca muktakhir ini.
“Berdasarkan keadaan cuaca ketika ini dijangka tidak berlaku musim kemarau yang ekstrem yang mana akan ada hari tanpa hujan dalam tempoh tiga atau empat minggu.
“Namun akan ada juga siri hujan pada waktu petang dan kita bersiap sedia sekiranya berlaku banjir kilat memandangkan impaknya lebih kuat daripada banjir monsun,” katanya. – UTUSAN