SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melalui jabatan penguatkuasaannya mengenal pasti sebanyak 278 penjaja yang didapati beroperasi tanpa lesen di daerah berkenaan.
Timbalan Yang Dipertuanya, Muhamad Shah Osmin berkata, sepanjang tempoh pemantauan dijalankan, sebanyak 316 notis kesalahan dikeluarkan merangkumi pelbagai bentuk kesalahan seperti menjaja tanpa lesen, melanggar syarat lesen dan meninggalkan barangan perniagaan di tempat awam.
Menurutnya, pasukan penguatkuasa turut melakukan 152 tindakan sitaan termasuk 101 sitaan terhadap barangan yang ditinggalkan di lokasi perniagaan.
“Ini menunjukkan pendekatan tegas pihak majlis dalam memastikan tiada kompromi terhadap aktiviti yang boleh mencemarkan imej bandar serta mengganggu kelancaran lalu lintas dan kebersihan awam.
“Kita perlu menekankan bahawa MPSepang tidak menolak kepentingan ekonomi mikro yang dijana melalui aktiviti penjajaan, terutamanya kepada golongan B40 dan usahawan kecil.
“Namun, segala aktiviti hendaklah dijalankan secara berlesen, terkawal dan beretika,” katanya pada Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sepang hari ini.
Jelasnya, MPSepang turut mengambil tindakan terhadap penjaja yang terlibat dengan aktiviti menjaja di hadapan sekolah bagi memastikan insiden kematian yang berlaku tidak berulang.
Mengulas lanjut, Muhamad Shah berkata, sehingga 31 Mac lalu, MPSepang meluluskan sebanyak 22,935 lesen perniagaan yang merangkumi aktiviti di bawah tred, perniagaan, perindustrian, hiburan, penjaja, pasar sari/malam dan pasar awam.
“Bagi memastikan aktiviti perniagaan beroperasi dengan baik dan teratur, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan syarat- syarat pelesenan di kawasan perindustrian telah dilaksanakan dengan memastikan semua premis perniagaan yang beroperasi mempunyai lesen perniagaan yang sah dan menjalankan aktiviti perniagaan seperti yang diisytiharkan.
“Sepanjang pelaksanaan aktiviti tersebut, sebanyak 485 premis telah diperiksa dan sebanyak 192 notis pematuhan syarat pelesenan dikeluarkan. Hasil tindakan susulan, 57 premis telah mematuhi notis pematuhan tersebut, manakala selebihnya di dalam proses penambahbaikan dan di dalam pemantauan jabatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhamad Shah berkata, MPSepang kini dalam proses merangka bajet tahun 2026, justeru, pandangan serta input dari penduduk Sepang adalah diperlukan untuk memastikan bajet yang dirangka bersifat komprehensif dan memenuhi keperluan.
Katanya, Portal Idea Bajet Majlis Perbandaran Sepang akan dibuka kepada orang awam bermula 9 April hingga 8 Mei depan dan segala input boleh disalurkan melalui http://ideabajet.mpsepang.gov.my/. – UTUSAN