PETALING JAYA: Dua lelaki yang terlibat dalam insiden pergaduhan pesta Songkran di sebuah pusat beli belah yang tular di media sosial masing-masing didenda RM300 dan RM350 oleh dua Mahkamah Majistret di sini.
Tertuduh, Ng Boo Sheng, 28, dan Ch’ng Jin Wei, 27, dikenakan denda itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad dan Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Mahkamah turut memerintahkan dua lelaki itu dipenjara antara 10 hingga 14 hari jika gagal membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran kepada orang awam di pesta tersebut di sebuah pusat beli belah di Damansara sekitar pukul 11.00 malam, pada 20 April lalu.
Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 290 kanun sama yang membawa hukuman maksimum RM400.
Semasa prosiding, Datuk Suraj Singh yang mewakili Boo Sheng merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar minimum, dengan mengambil kira kes ini merupakan kesalahan pertamanya.
“Sebelum ini, dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau maka pengakuan bersalah di peringkat awal, telah menjimatkan masa mahkamah. Kes ini telah memberi kesedaran kepadanya kerana dia ditahan reman selama dua hari,” katanya.
Sementara itu, peguam, Datin Raj Preet Kaur yang mewakili Jin Wei turut merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda yang rendah kerana mengaku kesal atas perbuatan tersebut selain memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat.
“Dia berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dimasa hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Athirah Jamalullail dan Lim Leong Hui memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan bahawa lima individu ditahan selepas dipercayai terbabit kes pergaduhan ketika pesta Songkran.
Penahanan kesemua individu berusia antara 20-an hingga 30-an itu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kesemua mereka ditahan kerana berlaku dalam pergaduhan.
“Kejadian dikatakan berpunca kerana berebut semasa mengisi air untuk pistol air yang digunakan dalam pesta berkenaan,” katanya. – UTUSAN