GUA MUSANG: Seramai 127 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menarik nafas lega apabila memiliki geran tanah sendiri selepas menandatangani dokumen rasmi bagi urusan pindah milik tanah yang diusahakan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemindahan hak milik tanah ini merupakan yang pertama kali dilakukan pihak Kesedar.
“Sebelum ini perkara tersebut dibangkitkan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tahun lalu. Saya tidak berjanji tetapi saya berazam ketika itu untuk menyelesaikan masalah hak milik tanah.
“Alhamdulillah, hari ini proses menandatangi borang pindah milik kepada peneroka menerusi penyerahan Borang 14A Kanun Tanah Negara 1965 yang merupakan dokumen rasmi bagi urusan pindah milik tanah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri KESEDAR 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, penyerahan pemilikan tanah ini dapat memberikan impak yang bermakna terhadap peneroka.
“Hari ini kita telah menyerahkan kepada mereka dan hak milik tanah ini merupakan satu ‘game changer’ untuk para peneroka kerana mereka telah menanti geran tanah ini lebih daripada 40 tahun,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman berkata, fasa pertama membabitkan pelaksanaa pindah milik kepada 127 peneroka yang membabitkan lima tanah Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR iaitu RKT Sungai Asap, RKT Renok Baru, RKT Paloh 1, RKT Paloh 3 dan RKT Chalil.
Katanya, setiap peneroka akan menerima lot ladang dengan keluasan hampir empat hektar dengan anggaran nilaian tanah RM360,000 hingga RM468,000 bagi setiap lot.
“Fasa seterusnya akan diserahkan pemilikan kepada peneroka di sembilan RKT membabitka keseluruhan 2,140 orang peneroka,” katanya.-UTUSAN