Nelayan, penternak tidak mahu kes kupang beracun berulang

Nelayan, penternak tidak mahu kes kupang beracun berulang

SEORANG nelayan di Pengkalan Kampung Telok, Pasir Panjang, Port Dickson hari ini membersihkan tangguk kerangnya untuk disimpan selepas larangan menuai kerang-kerangan di perairan Port Dickson dikeluarkan hari ini.--UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Penternak kupang di perairan Pasir Panjang di sini tidak mahu kes kupang beracun yang berlaku di kawasan tersebut tahun lalu sehingga mengakibatkan ada individu terpaksa menerima rawatan di hospital berulang kembali.

Ia susulan hebahan larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang yang dikeluarkan hari ini.

Seorang nelayan dan peternak kupang, Mohd. Hairel Mohd. Rashid, 33, berkata, walaupun pendapatan mereka dijangka akan terjejas ekoran larangan itu, namun keutamaan ketika ini adalah nyawa pengguna dan penduduk sekitar jika termakan kupang yang mengandungi bahan tercemar atau tidak selamat.

Mohd. Hairel turut mengakui dia merupakan individu pertama yang mengesan fenomena alga di perairan tersebut pada 5 Ogos lalu dengan warna air laut di dasar berdekatan lokasi penuaian menjadi seakan merah keorenan.

“Semalam paling banyak kerang mati terutama di bahagian darat, kami fikir kemungkinan berlaku keracunan seperti kes tahun lalu dengan keadaan air kotor di sesetengah tempat.

“Mungkin banyak faktor yang boleh mneyebabkan kupang menjadi beracun dan fenomena ini berlaku antaranya cuaca, tumpahan minyak disebabkan kapal karam tempoh hari dan penemuan alga.

“Kalau ikutkan simptom ini sama seperti tahun lepas itu, tetapi kami tidak tahulah punca sebenar,” katanya ketika ditemui di Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Telok, Pasir Panjang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hairel, sebagai langkah berjaga-jaga, dia telah memaklumkan kepada pihak Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang untuk tindakan lanjut kerana bimbang kejadian kupang beracun yang berlaku pada bulan Ramadan tahun lalu berulang.

Jelas Mohd Hairel, pendapatannya terjejas teruk dengan kerugian hampir RM50,000 dalam tempoh sembilan bulan insiden pencemaran biotoksin tahun lalu.

“Saya berharap keadaan yang berlaku ini bukanlah pencemaran seperti tahun lalu dan kali ini kami ambil langkah awal supaya tiada yang menjadi mangsa keracunan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PNK Telok Kemang, Mohd. Faudzi Mohamed Zakaria berkata, hebahan awal larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan dilakukan berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Walaupun masih belum ada pengesahan daripada pihak Jabatan Perikanan tetapi kami mengambil langkah awal membuat hebahan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kita ada pengalaman sebelum ini yang mana kita hanya mengetahui hasil dwicengkerang laut di sini tercemar apabila ada orang awam yang terpaksa dirawat di hospital kerana keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang,” katanya.

Beliau turut khuatir kerana kesan pengambilan dwicengkerang yang tercemar seperti kerang dan kupang bukan saja boleh menyebabkan cirit birit, tetapi juga kehilangan nyawa dengan serangannya berbeza-beza mengikut individu.

Terdahulu, media hari ini melaporkan PNK Telok Kemang mengeluarkan hebahan berhubung larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Pasir Panjang, Port Dickson di sini.

Menurut kenyataan PNK Telok Kemang, berdasarkan keputusan awal analisis mendapati terdapat kandungan Alexandrium SP di dalam sampel yang boleh memudaratkan dan mendatangkan bahaya kepada kesihatan manusia.

Pada 4 April tahun lalu, pihak Jabatan Perikanan mengeluarkan larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di Port Dickson selepas analisis makmal mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.

Sampel air dan kupang di perairan tersebut dikesan dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya. Bagaimanapun, pada 10 Ogos 2024, larangan tersebut ditarik balik berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN