Op Tumpang 2.0: ‘Ibu tumpang’ dapat bayaran hingga RM3,000 bagi setiap pendaftaran

Op Tumpang 2.0: ‘Ibu tumpang’ dapat bayaran hingga RM3,000 bagi setiap pendaftaran

BADRUL HISHAM ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan pihak berkuasa menerusi  Op Tumpang 2.0 mendapati wujud jaringan ejen dipercayai menguruskan dokumen sokongan palsu dengan mencari ‘ibu tumpang’ untuk didaftarkan nama sebagai ibu kandung kepada bayi yang baru dilahirkan.

Individu yang sanggup menjadi ‘ibu tumpang’ dipercayai mendapat imbuhan antara RM200 sehingga RM3,000 bagi setiap permohonan sijil kelahiran (pendaftaran).

Malah, ada antara wanita terbabit dipercayai turut menerima bayaran tetap daripada sindiket pemalsuan sijil kelahiran bayi dan melakukan perbuatan itu secara berulang.

Taktik itu dibongkar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hasil penahanan 10 individu termasuk enam wanita menerusi Op Tumpang 2.0 yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara, semalam

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, wanita yang berperanan sebagai ‘ibu tumpang’ bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu tercatat maklumat dirinya sebagai ibu yang melahirkan bayi terbabit.

Jelasnya, nama ‘ibu tumpang’ kemudian dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi melalui pendaftaran kelahiran yang didaftarkan di bawah permohonan ‘single mother’ (ibu tunggal) dan tiada hubungan biologi.

“Siasatan mendapati sijil kelahiran yang dikeluarkan kepada pemaklum kemudian diserah kepada ejen bagi tujuan dipasarkan ke pasaran gelap. 

“Tindakan itu dilakukan atas dorongan imbuhan atau ganjaran daripada ejen atau pihak ketiga termasuk sindiket,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Menurutnya, terdapat lelaki yang ditahan turut mendakwa menggunakan nama sebagai bapa kandung untuk mendaftar kelahiran bayi yang diperoleh daripada pihak ketiga seperti bayi luar nikah, anak tidak berdokumen atau warga asing.

Katany, ia bertujuan mendapatkan sijil kelahiran bertaraf warganegara kepada bayi terbabit, seterusnya bagi mendapatkan MyKad supaya dapat mengakses kemudahan warganegara seperti pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Tindakan ini dilakukan sebagai jalan singkat dan tidak melalui proses sah seperti permohonan pengangkatan dan permohonan kewarganegaraan.

“Hasil soal siasat turut mendapati wujud jaringan ejen yang mencari individu untuk menumpangkan nama sebagai ibu atau bapa kepada bayi dan menguruskan segala dokumen sokongan palsu atau memanipulasi dokumen seperti surat perubatan serta pengesahan kelahiran palsu,” katanya. 

Menurutnya, sindiket itu juga mengenakan bayaran tertentu kepada keluarga angkat atau pihak yang ingin mendapatkan kanak-kanak lengkap pakej dokumen pengenalan diri rasmi.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Beliau turut menjelaskan bahawa JPN tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menjalankan urusan membabitkan dokumentasi diri, sijil lahir warganegara dan kad pengenalan.

JPN juga menyeru individu atau keluarga yang terkait dengan isu pemerolehan sijil lahir tidak teratur supaya tampil secara sukarela di mana-mana JPN dan tidak perlu risau tindakan sekiranya terpedaya sebelum ini kerana JPN akan membantu memastikan pemilikan dokumen anak jagaan dapat dikeluarkan secara teratur berdasarkan peraturan ditetapkan.

JPN sentiasa komited menangani dan membanteras sindiket pengeluaran sijil kelahiran dan akan melaksanakan operasi penguatkuasaaan secara berterusan bagi menangani isu pendaftaran kelahiran secara tidak teratur. 

Terdahulu, media melaporkan 25 individu ditahan menerusi Op Tumpang 2.0 oleh JPN bersama SPRM membabitkan sindiket pemalsuan sijil kelahiran bayi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya