1,114 pegawai polis pantau PRK Ayer Kuning - Utusan Malaysia

1,114 pegawai polis pantau PRK Ayer Kuning

NOOR Hisam Nordin pada sidang akhbar berkaitan PRK DUN Ayer Kuning di IPD Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seramai 1,114 pegawai polis akan memantau keselamatan dan keamanan sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang bermula esok sehingga proses pengundian pada 26 April ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, polis telah membahagikan proses PRK tersebut kepada tiga fasa iaitu pra pilihan raya (penamaan calon, tempoh berkempen), pilihan raya (hari pengundian) dan pasca pilihan raya (selepas pengundian).

“Seramai 1,114 orang pegawai kanan polis (PKP), pegawai rendah polis (PRP) dan pegawai awam (PA) akan terlibat sepanjang PRK ini berlangsung.

“Polis akan menguatkuasakan undang-undang seperti Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 786), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Prosuder Jenayah (KPJ) – Berkenaan Penyuraian,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada Sidang Media Ketua Polis Perak Berkaitan Persediaan PDRM Perak Sempena Menghadapi Pilihan Raya Kecil N48 Ayer Kuning di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.

Noor Hisam menasihatkan semua pihak mengikut peraturan dan mematuhi undang-undang sedia ada selain berkempen secara berhemah dan profesional.

“Jangan ada provokasi yang berlebihan terhadap isu-isu sensitif seperti agama, perkauman serta instisusi diraja yang boleh menyebabkan suasana tidak harnoni, perpecahan, benci membenci atau memudaratkan keadaan keharmonian atau perpaduan.

“Bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang tempoh pilihan raya lebih-lebih lagi pada hari mengundi selain memastikan tiada insiden melanggar undang-undang berlaku seperti perbuatan khianat merosakkan poster, bendera parti lawan yang boleh menyebabkan suasana tidak harnoni,” katanya.

Katanya, pihaknya telah bersedia untuk menutup beberapa jalan utama sementara pada penamaan calon esok di Dewan Merdeka Tapah termasuk memantau rapi perarakan calon-calon parti yang bertanding.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April ini yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.

Calon Pas Abd. Muhaimin Malek mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN) pada PRK itu sementara Barisan Nasional (BN) diwakili Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, dan Bawani KS, 40, pula pilihan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang setakat hari ini melibatkan pertandingan tiga penjuru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN