IPOH: Sebanyak 102 mangsa ribut di Perak Tengah dan Larut Matang dan Selama (LMS) petang semalam kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan, dua PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jejawi di Perak Tengah dan Dewan Serbaguna Taman Kaya di Taiping.
Menurutnya, PPS di SK Sungai Jejawi dibuka pukul 11 malam semalam melibatkan 75 mangsa daripada 17 keluarga di Kampung Sungai Timah, Sungai Durian, Sungai Buaya, Seberang Perak dan Kampung Belia Sungai Pari.
“PPS di Taiping dibuka pada pukul 7 malam semalam menempatkan 27 mangsa daripada 14 keluarga dari Kampung Pak Darus, Taman Damai dan Taman Kaya,” katanya.
Angin kencang beserta hujan di Perak Tengah dan Larut, Matang dan Selama petang semalam menyebabkan lebih 50 rumah mengalami kerosakan. – UTUSAN