BAGAN DATUK: Ketibaan Syawal cukup istimewa buat sepasang suami isteri di sini apabila menghias rumah kecil mereka yang sudah berusia 100 tahun di Rungkup Kecil di sini.
Pemilik rumah tradisional Melayu itu, Zainal Abidin Ismail, 78, berkata, rumah miliknya dan isteri, Khadijah Ismail, 69, hanyalah sebuah kediaman lama kecil namun masih tetap dijaga dengan baik.
Katanya, setiap kali menjelang hari raya, mereka akan menghias rumah tersebut supaya nampak ceria.
“Rumah kami ini memang menjadi tumpuan kerana bentuknya adalah rumah tradisional Melayu yang masih dalam keadaan baik. Sesiapa yang memandangnya pasti akan kagum dengan keunikannya.
“Di halaman rumah ini terdapat tempayan lama, juga basikal tua dan motosikal lama jenis Honda yang popular pada tahun 1960-an. Lampu gasolin dan mesin jahit lama yang berfungsi menggunakan kaki juga masih ada di rumah ini.
“Sempena hari raya tak lama lagi, kami tidak mahu ketinggalan mengemas rumah kami supaya kelihatan ceria sempena Aidilfitri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, kebiasaan tetamu yang datang berhari raya ke rumahnya akan merakam video rumah tersebut sebagai kenangan atau berkongsi di media sosial mengenai rumah unik yang semakin jarang ditemukan sekarang.
Jelasnya, keunikan rumah itu ialah pada tingkap dan pintunya masih kekal menggunakan kayu bercorak dan terdapat ruang serambi untuk bersantai yang dibina menggunakan gelegar bagi mengukuhkan lantai selain menggunakan enam batang tiang yang rendah.
“Biasanya tak banyak hiasan yang perlu kami lakukan sempena Aidilfitri, cukup sekadar membersihkan rumah dan halaman, betulkan tangkap yang mungkin sudah senget dan memasang lampu warna warni.
“Setelah dibersihkan, ia akan menyerlahkan lagi seri rumah tradisional Melayu ini. Tak perlu banyak perubahan kerana kami tak mahu hilang nilai tradisional Melayu pada rumah lama ini,” katanya.-UTUSAN










