TAPING: Lapan nama di peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tapah telah diangkat untuk dipilih calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, kini hanya tinggal enam pilihan memandangkan dua daripada barisan kepimpinan tersebut telah menarik diri.
Katanya, lapan mereka itu ialah Pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di Bahagian tersebut.
“Lapan nama kita akan hantar. Saya beritahu lapan nama ini hendaklah dipersetujui. Kita hantar untuk dipilih oleh Presiden parti (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi).
“Tetapi jika daripada lapan itu ada kalangan mereka yang berhasrat untuk menarik diri. Boleh WhatsApp kepada saya. Setakat ini sudah dua orang WhatsApp pada saya (menarik diri). Bermakna kini tinggal enam nama yang dipertimbangkan. Itu pun bergantung jika kemungkinan ada lagi yang WhatsApp kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan kilang Green Excel Manufacturing Sdn. Bhd. di Kamunting, semalam.
PRK bakal diadakan susulan Ahli DUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Februari lalu dan PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis rasmi kekosongan kerusi.










