Tindakan tegas jika ada unsur buli kematian Prebet Muqriz 

Tindakan tegas jika ada unsur buli kematian Prebet Muqriz 

Muhammad Muqriz Aseri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku kes buli dalam kematian anggota  Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Prebet Muhammad Muqriz Aseri di Kem Sri Miri, Sarawak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kematian anggota tentera tersebut.

“Setakat ini, kita akan lihat dahulu hasil siasatan bagaimana. Sekiranya melibatkan buli dan manhandling (perbuatan kasar) yang diperkatakan, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di sini, semalam.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia kelmarin, mangsa yang berusia 21 tahun meninggal dunia selepas hentakan kuat di bahagian dada dan menyebabkan kerosakan pada jantung.

Jelas kenyataan itu, siasatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ yang dipercayai penyebab kematian Allahyarham.

Ekoran itu, dua anggota 20 RAMD ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kematian Muhammad Muqriz.

Dalam pada itu, ibu kepada Muhammad Muqriz, Nor Azlina Zambri, 45, mendakwa arwah pernah mengadu tidak tahan dan mahu berhenti secara baik.

Katanya, anak keduanya itu tidak pernah bercerita mengenai sebarang kejadian sepanjang berkhidmat dalam tentera.

“Namun, sebaik tiba di Sarawak ketika awal penempatan, Allahyarham ada menyatakan keinginan untuk berhenti kerana tidak tahan tetapi terus bertahan selepas diberikan kata-kata semangat oleh keluarga.

“Cuma sebagai ibu, saya terkilan dengan cara pemergiannya. Saya hantar anak saya dalam keadaan sihat, tetapi begini jadinya,” kepada Utusan Malaysia.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN