KUALA LUMPUR: Tiga bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri kos rendah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah duit berjumlah RM30,000, enam tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh iaitu bekas pengerusi, Hashim Saad, 61; bekas bendahari, Rohana Mohd. Aroff, 59, dan bekas setiausaha, Mohammad Abu Dzar Abu Samah, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Majistret M. S. Arunjothy.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang sebanyak RM30,000 milik JMB Bandar Tasik Selatan 1, Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan pada 10 Julai 2019 di pejabat urusan JMB pangsapuri itu, Cheras di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama serta boeh dihukum di bawah Seksyen 406 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor M. Alli Nangai mencadangkan setiap tertuduh dijamin pada kadar RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam-peguam bela, Gursharonjit Kaur, Luqman Hakim Azhar dan Shahir Ab. Razak yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon agar jaminan paling minimum diberikan kepada anak guam mereka atas alasan Hashim dan Rohana tidak berkerja manakala Mohamad Abu Dzar merupakan penanggung tunggal keluarga.
Mahkamah kemudian menetapkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 April ini. – UTUSAN