KOTA BHARU: Dua beradik yang sebelum ini hanya mampu memakai baju Melayu terpakai semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri, sebak mendapat set kelengkapan pakaian baharu untuk perayaan itu tahun ini.
Mohd. Shazrul Fahmi Mohd. Azman, 14, berkata, dia dan adiknya, Mohd. Syahdan, 10, bertuah kerana dipilih menerima sumbangan seperti baju Melayu, songkok dan kasut yang menambah keceriaan sambutan Aidilfitri walaupun tanpa ibu bapa mereka.
“Tahun-tahun sebelum ini saya dan adik memakai baju Melayu lama termasuk pemberian orang lain, tetapi bersyukur sangat menerima sumbangan ini. Kami dijaga kakak, Siti Norsyazwani bersama suaminya yang bekerja sebagai tukang cuci.
“Semasa sambutan hari raya sebelum ini, kakak hanya mampu membeli baju-T selain pakai yang sedia ada,” katanya ketika ditemui pada Program Shopping Raya Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) 2025 dengan kerjasama Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dan Mydin di Tunjong di sini, semalam.
Mohd. Shazrul Fahmi berkata, sudah tiga tahun dia dan adiknya tinggal bersama Siti Norsyazwani, 25, di Kampung Tapang, di sini kerana ibunya tinggal di Johor Bharu manakala bapa mereka meninggal dunia pada 2018.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Noraina Husna Mohamad, 11, gembira menerima sumbangan pakaian baharu untuk digayakan semasa sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Katanya, kebiasaan pada setiap tahun ibunya yang berusia 43 tahun membeli baju raya dengan harga sekitar RM20 sepasang tetapi dia mengerti kekangan kewangan dihadapi keluarganya.
“Emak dan ayah sudah berpisah dan sudah tentu untuk membeli baju raya yang cantik agak mahal, emak tidak mampu. Emak hanya bekerja mengambil upah menjahit songkok,” katanya yang tinggal di Kampung Ayer Merah, Machang.
Sementara itu, Presiden POKB, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, program tersebut sudah diadakan tujuh tahun untuk membantu keluarga yang tidak berkemampuan. – UTUSAN











