IPOH: Seramai 300 penerima dalam kalangan anak-anak yatim dan asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi gembira apabila dibawa ke Pasar Raya Besar Mydin di Bandar Meru Raya di sini untuk membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilftri.
Voucher bernilai RM150 itu diterima setiap penerima untuk membeli pakaian di pasar raya berkenaan dan ia merupakan sumbangan daripada Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar Perak.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, sumbangan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM45,000 itu bagi membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk membuat persiapan raya.
Katanya, ia juga diharap dapat menambah kemeriahan dan keceriaan anak-anak apabila dibawa ke pasar raya untuk memilih sendiri pakaian yang disukai.
“Ini merupakan program tahunan melibatkan penerima di dalam DUN Manjoi di mana pada tahun lalu, penerimanya sebanyak 150 orang dan tahun ini kembali kepada jumlah asal seramai 300 orang.
“Semoga dengan sumbangan ini dapat memberi kegembiraan kepada mereka yang kurang bernasib baik ini untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Muhammad Fahhim Fahimi Khairil Nizam, 15, meluahkan perasaan teruja dan gembiranya apabila diberi peluang untuk memilih sendiri pakaian yang akan diperagakan pada Aidilfitri nanti.
“Saya belum lagi beli baju raya dan syukur hari ini dibawa ke sini untuk memilih pakaian yang saya suka. Saya tidak tahu untuk beli baju apa dan akan minta bantuan nenek untuk pilihkan,” katanya.
Bagi Jumaah Abdul Rahman, 42, dia menghargai sumbangan tersebut dan berharap akan diteruskan pada masa hadapan.
“Saya amat berterima kasih kerana ada pihak yang sudi berkongsi rezeki dengan kami. Bantuan ini semestinya meringankan beban kewangan ibu bapa untuk membuat persiapan raya,” katanya. – UTUSAN