IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Perak tahun 2025 yang diadakan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan kepimpinan dan pentadbiran negeri.
Majlis bermula pukul 2.30 petang dihadiri hampir 20,000 orang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan tradisional.
Turut diraikan ialah kanak-kanak dari rumah kebajikan Vision Home, Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak Yatim dan Miskin Anning, Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam dan Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz Kuala Kangsar yang menerima duit raya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak ketika menyampaikan sembah ucapan majlis berkata, ketibaan Aidilfitri di negeri ini sentiasa menjadi cerminan semangat Malaysia sebenar yang menjelmakan semangat perpaduan, meruntuhkan tembok prasangka yang memecahbelahkan.
“Namun kebelakangan ini, masyarakat sering berhadapan bermacam insiden dan episod yang menggoncang semangat perpaduan.
“Lebih membimbangkan, suara-suara kebencian ini disambut oleh generasi muda yang tidak sempat merasai keindahan perpaduan sebenar, lalu tanpa segan silu menuturkan bahasa permusuhan.
“Maka pada hari yang mulia ini, tautkanlah hati-hati kita untuk menyuburkan kembali semangat kekitaan,” kata Saarani. – UTUSAN