Suami isteri maut kemalangan baru pulang umrah - Utusan Malaysia

Suami isteri maut kemalangan baru pulang umrah

KEADAAN kereta terlibat kemalangan yang menyebabkan dua maut di Jalan Pantai Tanjung Piandang di Parit Buntar. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Suami isteri yang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Batu 9, Jalan Pantai Tanjung Piandang di sini hari ini, baru dua minggu mengerjakan umrah.

Baharudin Ahmad, 59, dan isterinya, Wan Saniah Wan Ismail, 66, meninggal dunia setelah kereta Perodua Kelisa yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City dalam kemalangan yang berlaku pada kira-kira pukul 7 pagi.

Kemalangan turut menyebabkan anak angkat lelaki mereka yang berusia 13 tahun mengalami kecederaan.

Abdul Halim Ahmad, 51, adik kepada Baharudin berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian yang menimpa abang dan kakak iparnya ketika dia berada di tempat kerja di Jawi, Pulau Pinang.

Katanya, dia diberitahu abang dan kakak iparnya berada di Hospital Parit Buntar kerana terlibat kemalangan.

“Pada kira-kira pukul 10 pagi saya dimaklumkan kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian dan anak angkatnya mengalami kecederaan parah bahagian muka dan patah kaki dan kini sedang dirawat di Bahagian Kecemasan Hospital Parit Buntar,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Parit Buntar di sini hari ini.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya dua minggu yang lalu di majlis kenduri ahli keluarga mereka di Bandar Baharu, Kedah.

Katanya, pada masa itu abang dan kakak iparnya baru mengerjakan umrah.

“Semasa pertemuan itu, abang ada beritahu perancangannya setelah dia bersara sebagi anggota polis nanti.

“Dia juga bercadang untuk menyambut Aidilfitri bersama anak tunggal perempuannya di Kuala Lumpur.

“Kata abang,  anak perempuannya itu tidak boleh bercuti raya kerana telah mengambil cuti untuk mengerjakan umrah baru-baru ini,” katanya.

Kata Abdul Halim, mereka reda kejadian yang berlaku dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kemalangan.

Jenazah kedua-dua mangsa disolatkan di Masjid Jamek Ar-Ridhuan Alor Pongsu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Pongsu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya