SUBANG: Seramai 50 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang digerakkan ke Naypyidaw, Myanmar bagi melaksanakan operasi mencari dan penyelamat (SAR), dijangka berada di negara itu antara tujuh hingga 14 hari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh keberadaan semua anggota SMART di Myanmar bergantung kepada keperluan di lokasi kejadian.
Katanya, kerajaan berharap dengan bantuan dihulurkan itu dapat mempercepat operasi mencari dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih terselamat.
“Sepanjang berada di sana, koordinasi pergerakan mereka diselaraskan oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri),” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid diiringi Panglima Angkatan Tentera, Datuk Mohd. Nizam Jaffar tiba di Pangkalan Udara (PU) Subang , bagi menyaksikan penghantaran seramai 50 pegawai dan anggota SMART ke Myanmar dengan menaiki dua pesawat Airbus A-400M.
Keanggotaan SMART terdiri daripada 16 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 13 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 21 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut dibawa oleh pasukan SAR Malaysia itu adalah kargo seberat 33 tan membabitkan peralatan mencari dan menyelamat, dua unit trak serta satu Hilux.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengusulkan supaya semua anggota SMART yang dihantar ke Myanmar diberi elaun tambahan.
“Kita (memang) ada elaun yang telah ditetapkan kepada mereka, tetapi memandangkan mereka bergerak sehari sebelum Syawal, mungkin ada (elaun tambahan).
“Kebetulan (penghantaran) dekat dengan hari raya, saya akan pertimbangkan (pemberian elaun) selepas perbincangan dilakukan dengan Perdana Menteri,” katanya.
Kelmarin, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter pada antara yang terbesar menggegarkan negara Asia Tenggara sekali gus melumpuhkan perkhidmatan lapangan terbang, jambatan dan lebuh raya khususnya di Myanmar.
Setakat ini, jumlah kematian yang direkodkan meningkat kepada 1,644 nyawa namun angka itu dijangka terus meningkat.-UTUSAN