Sindiket seludup PATI tumpas, dua warga tempatan ditahan

Sindiket seludup PATI tumpas, dua warga tempatan ditahan

SEBAHAGIAN warga Myanmar terdiri daripada etnik Rohingya yang ditahan dalam serbuan oleh JIM Kedah di sebuah rumah transit di Sungai Petani, Kedah, semalam.-GAMBAR/IHSAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jabatan Imigresen (JIM) Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang didalangi oleh warga tempatan dalam operasi khas di daerah ini, semalam.

Dalam Op Serkap yang dijalankan pada pukul 7.10 malam itu, sepasukan pegawai Imigresen menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan transit bagi PATI. 

Hasil serbuan, seramai 18 warga Myanmar etnik Rohingya berusia antara 12 hingga 40 tahun berjaya ditahan. Turut diberkas, dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai dalang dalam sindiket terbabit.

Pengarah JIM Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, sindiket itu dikesan membawa masuk PATI melalui jalan laut dari negara jiran sebelum memindahkan mereka ke rumah transit menggunakan laluan darat.

“Hasil risikan selama dua minggu dan maklumat awam mendapati sindiket ini menggunakan laluan tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand bagi menyeludup masuk PATI dan menggunakan modus operandi dengan menyerahkan PATI terbabit kepada saudara mereka di Malaysia dengan bayaran tertentu,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang menyiasat jumlah sebenar warga asing yang telah dibawa masuk oleh sindiket itu serta kemungkinan mempunyai kaitan dengan pendaratan ratusan PATI warga Myanmar di Langkawi, baru-baru ini.

Kesemua PATI yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala, dua warga tempatan yang dipercayai menjadi dalang akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN