KUALA LUMPUR: Penggunaan lori kargo dan bas ekspres merupakan antara modus operandi sindiket penyeludupan mercun yang menyorokkan barangan tersebut bersama barangan sah lain seperti sayur, buah-buahan dan perabot.
Ahli sindiket turut dikesan menggunakan bot-bot kecil dan kapal kargo yang membawa barangan import dan barangan dagangan lain bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Perkara tersebut dikesan hasil operasi bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 1 Januari hingga 23 Mac lalu yang berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan mercun bernilai kira-kira RM106 juta.
Mengulas lanjut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, siasatan pihaknya mendapati mercun dibawa masuk melalui sempadan darat, laut serta dijual secara tersembunyi oleh premis yang memiliki lesen sah.
Katanya, antara kaedah yang dikenal pasti termasuk menggunakan laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand seperti di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar.
“Sindiket dikesan menyembunyikan mercun dalam kenderaan persendirian, lori kargo serta bas ekspres bersama barangan sah seperti sayur, buah atau perabot.
“Selain itu, taktik lain yang dikesan digunakan adalah membabitkan penggunaan bot kecil atau kapal kargo yang membawa barangan import.
“Mercun disorok dalam kontena bersama barang dagangan lain dan dihantar ke pelabuhan rasmi di Sarawak dengan dokumen kastam yang sah yang menyenaraikan jenis mercun yang dibenarkan dijual,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, dalam beberapa kes, mercun yang dibenarkan turut dicampur dengan mercun larangan dalam satu kontena.
Jelasnya, ada mercun yang masuk melalui pelabuhan ini akan dihantar ke negeri di Pantai Timur menggunakan lori dalam kuantiti yang banyak berdasarkan permintaan dan penjual mendapatkan permit penyimpanan penjualan daripada Ketua Polis Daerah.
“Siasatan juga mendapati ada pemilik premis berlesen yang turut menjual mercun tidak dibenarkan.
“Sindiket turut dikesan menggunakan orang tengah atau runner untuk membawa masuk mercun dalam jumlah kecil tetapi kerap.
“Kebiasaannya, individu yang diupah sebagai ‘keldai’ ini terdiri daripada mereka yang sering berulang-alik ke luar negara, warga asing atau individu yang tidak menimbulkan syak,” katanya.
Razarudin berkata, dalam tempoh tiga bulan tahun ini, sebanyak 60 kes direkodkan dengan 68 individu ditahan dan nilai rampasan mencecah RM106 juta.
Jelasnya, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM48.5 juta membabitkan lima kes dan enam tangkapan.
“Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 32 kes, melibatkan 42 tangkapan dan nilai rampasan RM31.7 juta,” katanya. – UTUSAN











